KUALA LUMPUR – Peruntukan besar bagi kontraktor-kontraktor tempatan untuk projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah positif bagi sektor pembinaan yang mengalami kemerosotan kontrak.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebanyak 40 peratus kerja-kerja sivil akan dilaksanakan oleh peserta-peserta tempatan berbanding 30 peratus berbanding cadangan sebelum ini.
“Dengan itu, peruntukan membabitkan sektor pembinaan tempatan berjumlah RM17.6 bilion,” kata penganalisis Sharizan Rosely.
Tumpuan utama bagi tender baharu adalah penjajaran semula dari Mentakab ke Negeri Sembilan dan Selangor yang mana penjajaran selatan yang akan menyediakan sambungan terus dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.
Sharizan menambah, penjajaran selatan baharu akan memanfaatkan Laluan Ekspres KLIA (ERL) dan persimpangan MRT Line 2 akan datang di Putrajaya Sentral, menangani kebimbangan sebelumnya mengenai daya maju projek dan penumpang.
Bagaimanapun, katanya, tender baharu untuk kontraktor-kontraktor tempatan tidak dijangka dilakukan dalam masa terdekat ini.
Ini kerana pelaksanannya bergantung kepada penyempurnaan reka bentuk skim keretapi baharu, paparan umum penjajaran baru dan keputusan pengambilan tanah, yang mungkin akan dilakukan lebih dari enam bulan akan datang. – MalaysiaGazette