Home Utama Kerajaan perlu segera rangka langkah atasi kenaikan kos makanan – Sultan Nazrin

Kerajaan perlu segera rangka langkah atasi kenaikan kos makanan – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar kerajaan segera merangka langkah-langkah strategik untuk menangani peningkatan kos bahan makanan.

Baginda bertitah langkah-langkah strategik tersebut wajib memberi keutamaan terhadap peranan penting serta keperluan kritikal sektor pertanian.

“Kos bahan makanan yang meningkat semakin membebankan hidup rakyat.

“Keresahan rakyat terhadap kos bahan makanan yang meningkat hendaklah dibaca dengan tepat, ditafsirkan sebagai loceng amaran, memperingatkan kerajaan agar segera merangka langkah-langkah strategik,” titah baginda.

Sultan Nazrin beritah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta diketuai DSP Muhammad Ulul Azmi Muhamed.

Sultan Nazrin bertitah, daripada 15 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.8 juta terlibat dalam sektor pertanian dan perangkaan itu amat membimbangkan bagi negara yang mempunyai 32 juta penduduk seterusnya diunjur meningkat 36 juta pada 2030.

“Bilangan 1.8 juta pekerja dan sebahagian besarnya dalam usia tua, terlalu kecil untuk dipertanggungjawabkan menghasilkan makanan kepada 32 juta penduduk, apatah lagi jika kaedah pengeluaran tidak dimodenkan untuk mengeluarkan hasil lebih tinggi.

“Keadaan bertambah kronik dengan perangkaan menunjukkan berlaku pembaziran makanan sebanyak hampir 17,000 tan setiap hari…kuantiti yang dapat menyediakan makanan tiga kali sehari, kepada 12 juta orang,” titah baginda.

Berdasarkan kepada situasi tersebut, baginda bertitah jaminan makanan semakin menjadi cabaran besar kepada mana-mana kerajaan.

Selain itu, Sultan Nazrin juga bertitah kejayaan Ladang Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pulau Tiga di Kampung Gajah, Pasir Salak mencatat hasil tertinggi pengeluaran sawit di Semenanjung Malaysia wajar dijadikan contoh untuk meningkatkan produktiviti ladang.

— BERNAMA