Home Ekonomi Rajawali nafi ambil tindakan ke atas Felda

Rajawali nafi ambil tindakan ke atas Felda

JAKARTA – Kumpulan Rajawali menafikan anak syarikatnya, PT Eagle High Plantation Tbk akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda yang merancang untuk menjual balik pegangan sahamnya yang bernilai AS$500 juta.

“Felda dan Rajawali atau mana-mana anak syarikat Felda atau Rajawali tidak atau tidak pernah terlibat dalam mana-mana prosiding mahkamah,” kata Rajawali dalam satu kenyataan di sini.

Minggu lalu, dilaporkan bahawa Eagle High memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap keputusan Felda untuk menjual balik saham melalui timbang tara.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, notis kepada syarikat berpangkalan di Indonesia itu telah dikemukakan awal tahun ini, yang dibuat berdasarkan opsyen jual dalam perjanjian urus niaga antara kedua-dua entiti itu sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, PT Rajawali Capital International mencabar penjualan balik itu dan kini sedang melalui proses timbang tara.

Pada Februari lalu, The Straits Times Singapura melaporkan Felda bercadang melupuskan pegangannya dalam Eagle High dan menuntut kembali lebih AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang dilaburkan ke atas ladang kelapa sawit serta aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

Felda dilaporkan mahu menjual semula kepentingan ekuitinya pada harga pembelian AS$505.4 juta (RM2.06 bilion) bersama faedah tahunan enam peratus yang harus ditanggung syarikat Indonesia berkenaan. – MalaysiaGazette

+ posts