KUALA LUMPUR – Isu perdagangan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung minyak sawit tidak akan menjejaskan eksport barangan lain ke EU, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata eksport elektrikal dan elektronik (E&E) ke EU kekal kukuh.
“Satu-satunya eksport yang terjejas ialah minyak sawit dan sektor lain setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan negatif,” katanya pada sidang media hari ini mengenai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) at SEMICON Southeast Asia,.
Menurut data MATRADE, perdagangan dengan EU pada Februari 2019 turun sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.35 bilion atau 10.9 peratus jumlah perdagangan Malaysia.
Eksport ke EU mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM7.68 bilion, disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan pembuatan khususnya produk E&E, pembuatan logam, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit.
Daripada keseluruhan perdagangan, berbanding pada Februari tahun lepas, eksport produk E&E meningkat sebanyak 4.9 peratus bernilai RM25.81 bilion, yang menyumbang 38.8 peratus daripada jumlah eksport.
“Antara 10 pasaran terkemuka EU yang menyumbang 89.7 peratus jumlah eksport Malaysia ke EU ialah Sepanyol, yang mencatatkan peningkatan 78.4 peratus, Ireland (180.1 peratus), Itali (28.2 peratus), Jerman (1.1 peratus), Perancis (3.6 peratus) dan Republik Czech (2.5 peratus),” katanya.
Wan Latiff berkata kekuatan Malaysia dalam sektor E&E, terutamanya sebagai peneraju di rantau ini, dijangka berkembang pada paras kukuh di sebalik kelembapan global, dengan mengguna pakai pembuatan pintar dan Industri 4.0.
“Saya percaya kami akan mampu mempunyai tapak yang lebih kukuh dalam industri ini dan sektor E&E akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.
“Menjelang 2020, industri itu dijangka menjana pendapatan negara kasar tambahan sebanyak RM53.4 bilion dan mewujudkan 157,000 kerja baharu,” katanya.
Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia Ng Kai Fai berkata, di sebalik pasaran global yang lebih perlahan, hasil sektor E&E tempatan dijangka mencecah RM490 bilion tahun ini berbanding RM470 bilion tahun lepas.
“Ketika industri terus berkembang berikutan teknologi menjadi lebih canggih dari semasa ke semasa, pemain industri perlu meningkatkan kemahiran mereka dan mengguna pakai teknologi terkini untuk menawan perkongisan pasaran,” katanya.
INSP at SEMICON Southeast Asia, bertema “Think Smart Make Smart” bakal diadakan di MITEC dari 7-9 Mei, dijangka mencatatkan jualan bernilai RM150 juta kerana ia akan dihadiri oleh pembeli dan 9,000 perwakilan daripada China, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat serta Emiriah Arab Bersatu.- MalaysiaGazette