Home Utama Adib diseret dalam keadaan separa sedar

Adib diseret dalam keadaan separa sedar

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan dalam keadaan separa sedar ketika diseret selepas dihentak ke daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Berdasarkan teori bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, keadaan anggota bomba itu boleh disebabkan dua faktor iaitu perasaan terkejut ditarik atau kesakitan yang amat selepas cedera parah di dada kanan, depan dan belakang dalam masa yang sama patah tujuh pada kiri belakangnya.

Sebab itulah Adib menurut saksi ke-29 itu tidak melawan walaupun ditarik.

“Kemungkinan besar pada waktu diriseret dia sudah mula rasa kesakitan yang amat  sangat patang tulang kanan depan belakang dan tulang rusuk kiri selain kecederaan paru-paru.

“Dia mungkin separa sedar. Satu elemen pasal dia terkejut yang kedua sebab sakit yang teramat akibat kecederaan.

“Dia sedar dirinya bergerak ditarik tapi untuk meronta-ronta melawan tidak ada. Tidak ada reaksi,” katanya pada prosiding inkues kematian Adib pada hari ke-27.

Beliau berkata demikian apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hamdan Hamzah tentang bagaimana keadaan anggota bomba ketika diseret.

Shahrom selain itu berpendirian Muhammad Adib sebagai anggota bomba yang bertugas pada malam rusuhan tidak menyangka akan diserang, bersesuaian dengan tujuan badan unit beruniform itu ke kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November untuk menyelamat sekiranya terdapat mangsa kebakaran.

“Dia tak rasa dia diserang tiba-tiba orang datang merentap kolar (bajunya) .

“Dalam keadaan rusuhan, dia memikirkan dia ahli bomba dan kemungkinan dia diserang sebab dia bomba tidak ada.  Belum ada lagi anggota bomba diserang,” ujar beliau.

Terdahulu Shahrom memberitahu selepas dihentak pada dada dan di belakang bahagian kirinya, Adib yang jatuh kemudian ditarik.-MalaysiaGazette