Home Utama 31 individu termasuk 23 penguat kuasa JPJ lindungi sindiket ‘lori kebal’ ...

31 individu termasuk 23 penguat kuasa JPJ lindungi sindiket ‘lori kebal’ ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 31 individu termasuk 23 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun. Mereka ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4 petang hari ini.

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran kira-kira RM10,000 ke RM32,000 sebulan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

“Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan,” ujar sumber itu.

Jelas sumber, tangkapan ini merupakan siasatan peringkat pertama dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, dianggarkan tidak kurang daripada 75 pegawai penguat kuasa JPJ terlibat menerima rasuah daripada pemilik syarikat-syarikat lori.

Dalam pada itu, sumber berkata, kumpulan lori yang dilindungi ini dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenalpasti sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, operasi besar-besaran oleh Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama SPRM Pulau Pinang itu dilakukan hasil risikan sejak beberapa bulan lalu selain mendapat maklumat daripada orang awam.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Kesemua yang ditahan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette