KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hotel-hotel di sekitar kawasan itu agar mengambil inisiatif untuk mendidik pelancong luar
Menurut Anwar, perkara itu perlu bagi memastikan faktor kebersihan di kawasan pelancongan Port Dickson dititikberatkan.
“Ini beberapa aduan dan kami memerlukan hotel untuk memberi pendidikan kebersihan kepada semua pelancong,” katanya kepada media selepas hadir dalam Siri Dialog Digital (DNA) 2019 di Universiti Sunway, hari ini.
Anwar diminta mengulas mengenai seorang pelancong warga China dipercayai buang najis di tepi pantai Batu 5, Port Dickson.
Video itu viral dimuatnaik seorang pengguna Facebook pada Isnin lalu menerima kecaman netizen Malaysia yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai menjijikkan dan tidak menghormati pengunjung lain pantai tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan untuk menghadkan pelancong daripada mana-mana negara tidak perlu dilaksana buat masa ini kerana akan merugikan negara.
“Saya tidak fikir kita perlu menghadkan mana-mana negara tertentu dan harus menjadi garis panduan tertentu kepada pelancong dan rakyat kita juga,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan itu jika benar berlaku merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam. -MalaysiaGazette