KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi memberi alasan “pandangan peribadi” apabila pemimpin atau wakil rakyatnya membuat kenyataan yang rasis, kata bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludidin Abu Bakar.
Beliau berkata, jika berlaku senario seumpama itu, sekurang-kurangnya wakil rakyat yang terbabit ditegur secara rasmi oleh Majlis Tertinggi atau tindakan disiplin yang setimpal.
“Jangan lagi sebab nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.
Awal pagi tadi Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ucapan ADUN Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman berkaitan SRJKT dan SRJKC adalah semata-mata pandangan peribadi beliau.
Katanya ucapan ADUN BN ketika sidang Dewan Undangan Negeri Pahang itu sejajar dengan kebebasan dan kekebalan ahli Dewan untuk bersuara atau memberi pandangan mereka sewaktu dalam persidangan.
“Namun suka diperingatkan bahawa ucapan ADUN Kemayan itu adalah semata-mata pandangan peribadi beliau dan sama sekali bukan dasar dan pendirian parti.
“Perlu ditegaskan, kedudukan SRJKC dan SRJKT adalah sesuatu yang telah terjamin dalam Perlembagaan negara serta dasar pendidikan kebangsaan,” kata Annuar dalam kenyataaan.
Beliau juga mengingatkan pemimpin parti menghormati dasar yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan tidak harus mempertikaikannya dalam bentuk yang memberi mesej yang salah dan mengelirukan.
“Diharapkan kekeliruan seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette