Home Nasional Projek PSR, MPFN tidak buat sebarang kelulusan atau persetujuan

Projek PSR, MPFN tidak buat sebarang kelulusan atau persetujuan

Khalid Samad
Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) tidak membuat sebarang keputusan, sama ada melulus atau bersetuju dengan cadangan Pelan Induk Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR).

Sebaliknya, menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, MPFN yang bersidang semalam telah mendengar dan seterusnya mempertimbangkan cadangan itu selaras Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Adalah dimaklumkan bahawa MPFN ke-31 yang bersidang pada 18 April 2019 telah mendengar dan seterusnya mempertimbangkan cadangan Pelan Induk Penang South Reclamation (PSR) tersebut selaras dengan peruntukan perenggan 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

“MPFN tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut, tetapi telah menasihati kerajaan negeri melalui 18 nasihat yang telah digariskan beserta dengan ulasan dan nasihat tambahan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, ulasan dan nasihat tambahan itu ialah dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA); Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA); dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Khalid juga menasihatkan kerajaan Pulau Pinang untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan itu serta memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

“Suka juga diingatkan, permohonan ini perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan.

“Memandangkan permohonan yang dikemukakan ini berbentuk pelan induk, ianya perlu dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat MPFN di bawah subseksyen 22(2A), Akta 172,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan cadangan projek tebus guna tiga pulau di selatan negeri itu diluluskan pengawalselia persekutuan.

Kon Yeow dalam kenyataan ringkas berkata, projek itu yang sebelum ini dikenali sebagai Tebus Guna Selatan Pulau Pinang mendapat kelulusan MPFN.

Kata beliau lagi, majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu memberikan 18 nasihat yang perlu dipatuhi. – MalaysiaGazette