KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 untuk tempoh 20 April hingga 26 April ini naik sebanyak 12 sen seliter kepada RM2.68 seliter.
Manakala harga runcit RON95 dan diesel kekal masing-masing pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, kenaikan harga runcit RON97 dilakukan berikutan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia menunjukkan trend peningkatan sehingga melebihi paras AS$80 setong.
“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 20 April 2019 sehingga 26 April 2019 sepatutnya naik 12 sen seliter daripada RM2.38 seliter kepada RM2.50 seliter dan naik 7 sen seliter daripada RM2.39 seliter kepada RM2.46 seliter masing-masing berikutan kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada AS$70.98 setong bagi tempoh 11 ke 17 April
2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun menurutnya, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh tersebut dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette