Home Utama Wahai menteri, jangan hanya sekadar pandai makan kedai India sahaja

Wahai menteri, jangan hanya sekadar pandai makan kedai India sahaja

Ahli Tertinggi MIC, Datuk P.Kamalanathan.

KUALA LUMPUR – Segelintir pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang kini berstatus menteri dibidas supaya retorik dan berterusan  ‘memperbodohkan’ masyarakat dalam merealisasikan agenda politik mereka.

Sebaliknya, menurut Ahli Jawantankuasa Kerja Pusat MIC,  Datuk P. Kamalanathan, lebih baik mereka menunjukan sedikit kesungguhan dalam menangani isu-isu berkaitan masyarakat.

Kata beliau, jangan hanya sekadar mempunyai jumlah menteri yang ramai dalam kalangan masyarakat India tetapi tidak memainkan peranan secukupnya dalam memperjuangkan nasib serta kebajikan komuniti itu.

“Jangan sekadar keluarkan kenyataan lantas dan terbuka tentang bagaimana anda hanya makan di kedai-kedai makanan India sahaja tetapi bersuara dan bertindak juga dalam isu-isu lain seperti kemasukan pelajar ke matrikulasi.

“Pandai sungguh ambil keputusan pantas isu makanan apa yang hendak makan tetapi isu masa depan generasi akan datang kamu mahu ‘cuci tangan’ pula?

“Untuk apa rata-rata rakyat khasnya masyarakat India ini mengundi anda?

“Terus terang saya katakan, anda-anda ini sedang duduk di sebelah sana dengan status menteri, timbalan dan sebagainya kerana pada pilihan raya lalu kamu berikan gambaran cukup negatif tentang kerajaan terdahulu.

“Kemudian anda berikan pula janji anda-anda inilah yang akan menjadi ‘masa depan’ kepada generasi akan datang, setiap undi yang diberikan kepada anda itu akan di gunakan untuk mencorakan masa depan bukan para pelajar kita sebaliknya masyarakat keseluruhan, kini?

“Terus terang saya katakan, saya bukanlah seorang pemimpin sejak dulu jenis yang ‘agresif’ atau mengeluarkan kenyataan melulu terhadap pemimpin atau parti lain dengan senang-senang. Saya jenis yang bercakap menggunakan fakta dan contoh.

“Tetapi dalam isu pengambilan pelajar India ke program matrikulasi ini sebenarnya telah meremukan hati saya. Janganlah abaikan mereka apatah lagi yang cemerlang dan sangat memerlukan. Kerana itu saya terpanggil untuk tampil secara terbuka.

“Janganlah pandai bagi kenyataan kedai makanan bangsa mana yang anda suka makan untuk tunjukkan betapa anda akan berkorban memperjuangkan nasib mereka sebaliknya tunjuk juga dalam isu pengambilan matrikulasi ini juga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sejak minggu lepas, kecoh apabila pelajar dalam kalangan India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dengan pencapaian sehingga 10A gagal mendapat sebarang tempat ke program matrikulasi.

Rata-rata masyarakat serta ahli politik melahirkan rasa gusar dengan keadaan itu dan mempersoal status pengambilan pelajar India dan Cina ke matrikulasi namun menterinya, Dr. Maszlee Malik hanya mengatakan tawaran 2,200 tempat kepada pelajar India hanya one off.

Jelas Kamalanathan lagi, jangan kerana tidak bersefahaman aliran politik maka masa depan para pelajar menjadi mangsa keadaan malah kata beliau, janji kerajaan PH perlu ditunaikan.- MalaysiaGazette