KAJANG – Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan pengurusan tertinggi JPJ negeri itu akan dipanggil untuk membantu siasatan kes rasuah membabitkan kakitangan jabatan itu sekiranya perlu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata pegawai-pegawai kanan JPJ Pulau Pinang yang disyaki terlibat dalam kes ini akan dipanggil jika didapati terlibat hanya selepas SPRM selesai mengambil keterangan daripada kakitangan yang ditangkap sebelum ini.
“Kami akan mengumpul bahan-bahan bukti serta mendapatkan beberapa pengesahan, kalau kita perlu, pegawai-pegawai kanan JPJ terlibat dipanggil dalam kes ini.
“Mereka (Pengarah JPJ Pulau Pinang dan pengurusan tertingginya) kebiasaannya akan dipanggil selepas kami selesai rakam keterangan pegawai JPJ yang disyaki terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pertandingan menembak antara Unit Komunikasi Korporat agensi penguat kuasa tahun 2019 di lapang sasar Maktab Penjara Kajang, di sini.
Selain itu, Azam berkata tidak kurang daripada 22 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang telah dipanggil memberi keterangan bagi bantu siasatan pada minggu ini.
“Beberapa rampasan telah dibuat dan SPRM mempunyai bukti sahih penahanan kesemua penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang disyaki terlibat rasuah,” katanya.
Ditanya sekiranya SPRM akan membuat operasi yang sama pada pada pejabat JPJ negeri lain, Azam enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.
Pada Rabu lepas, Mahkamah Majistret George Town mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 orang penguat kuasa JPJ bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki terlibat dengan rasuah untuk melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar Pulau Pinang.
Laporan media sebelum ini menyebut petugas-petugas JPJ yang ditahan itu berjawatan penguat kuasa gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM10,000 dan RM32,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain membocorkan maklumat operasi jabatan itu.
Kumpulan lori-lori yang dilindungi itu juga dilaporkan turut dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenal pasti dan kebal daripada tindakan penguat kuasa.Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA