GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 22 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori, yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.
Sumber berkata semua lelaki berusia 32 hingga 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini antara pukul 10 pagi hingga 4.15 petang hari ini selepas hadir memberi keterangan.
“Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, penahanan itu merupakan siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi termasuk penguat kuasa dan pegawai kanan JPJ yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kesemua mereka akan direman di mahkamah di sini esok.
Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang Mohamat Johari Mat Nor ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh.
Katanya, beliau akan memberikan keterangan kepada SPRM jika ada keperluan seperti mana yang dimaklumkan suruhanjaya itu.
Semalam, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.
Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.
Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lalu.
— BERNAMA