Home Politik Mohamad angkat sumpah ADUN Rantau

Mohamad angkat sumpah ADUN Rantau

Datuk Seri Mohamad Hasan dinamakan wakil rakyat Rantau selepas menang dalam PRK Rantau.

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 13 April lepas.

Mohamad yang juga pemangku Presiden UMNO mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan berangkat merasmikan istiadat tersebut.

Turut berkenan mencemar duli Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Pada PRK DUN Rantau 13 April lepas, Mohamad menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali keempat sejak disandangnya pada 2004.

Mohamad yang mewakili Barisan Nasional (BN) adalah dalam kalangan 16 ADUN BN dalam DUN itu manakala PH diwakili oleh 20 ADUN.

— BERNAMA