Home Nasional Arak, rokok mungkin dikecuali dari senarai bebas cukai di Pangkor

Arak, rokok mungkin dikecuali dari senarai bebas cukai di Pangkor

IPOH – Minuman keras dan rokok mungkin dikecualikan daripada senarai item atau barangan yang akan menikmati bebas cukai di Pulau Pangkor, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mengakui setuju dengan cadangan kerajaan terdahulu agar dua barangan itu dikecualikan, Ahmad Faizal bagaimanapun berkata perkara tersebut sedang diperincikan menjelang pewartaan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Jan 2020.

“Saya berpandangan sama bahawa pembangunan industri pelancongan Pangkor perlu dijaga dengan baik supaya sesuai untuk pelancongan dan keluarga.

“Senarai barangan untuk dikecualikan sekarang kerajaan negeri sedang perincikan. Kami akan tentukan perkara itu (pengecualian arak dan rokok) diberi keutamaan dalam perincian itu…kami sependapat,” katanya semasa sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) yang ingin tahu adakah cadangan asal untuk mengecualikan rokok dan arak di pulau peranginan itu dikekalkan.

Selain itu, Ahmad Faizal (Bersatu-Chenderiang) menasihati penduduk Pangkor supaya tidak menjual tanah milik mereka sebaliknya bekerjasama dengan pihak kerajaan atau swasta bagi memajukan pulau itu sebagai pusat pelancongan utama negeri ini.

“Jawatankuasa kerja Pulau Pangkor sebagai PBC perlu beri tumpuan khusus termasuk isu struktur projek dan memastikan mendidik penduduk yang ada tanah supaya tidak jual,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Teoh Yee Chern (DAP-Astaka).

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 22 Jan lepas bersetuju agar jeti di pekan Pangkor dijadikan jeti awam pelancong, manakala jeti di Sungai Pinang Besar sebagai jeti kargo.

Katanya kementerian itu juga sedang dalam tindakan meminda beberapa akta serta perundangan subsidiari yang terlibat termasuk Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990.

“Kerajaan negeri sedang menyelaras aspek-aspek pelaksanaan yang berkaitan termasuklah keperluan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) dan projek-projek keutamaan lain.

“Ini bagi membolehkan Pangkor sebagai PBC dibangunkan secara strategik serta bersepadu demi manfaat rakyat negeri Perak,” katanya.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semasa merasmikan pembukaan persidangan DUN pada 16 April lalu bertitah penduduk tempatan di Pulau Pangkor mendapat limpahan manfaat daripada status bebas cukai dan tidak bernasib lebai malang, menang sorak, kampung tergadai.- BERNAMA