KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengajak seluruh masyarakat Malaysia mengambil iktibar terhadap kejadian pengeboman di tempat ibadah di Sri Lanka.
Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, ia menggambarkan betapa pentingnya keharmonian dan kedamaian dikekalkan di negara ini.
“Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, perbuatan ganas melucutkan nyawa seseorang secara individu atau kumpulan khususnya orang awam yang tidak berdosa harus dikutuk
sekeras-kerasnya oleh umat Islam sebagaimana digariskan dalam maqasid syariah.
“Islam sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni, amat menitikberatkan persoalan nyawa seseorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Omar, atas apa alasan sekalipun, keganasan tetap dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.
Masyarakat, katanya, tidak dapat menerima sebarang alasan untuk menghalalkan pembunuhan, lebih-lebih lagi atas nama agama.
Kejadian itu melambangkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar dan golongan berkenaan sebenarnya terpengaruh dengan fahaman ekstrem, katanya.
“Masyarakat dunia akan terus membuat penilaian bahawa ada manusia sanggup melakukan apa sahaja, hatta membunuh sekali pun, jika pertimbangan kemanusiaan dalam dirinya sudah hilang,” ujar Nik Omar.
Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM akan terus secara progresif menganjurkan progam bagi memupuk rasa kasih sayang dalam masyrakat majmuk berkonsepkan prinsip rahmatan lil alamin.-MalaysiaGazette