Home Ekonomi Kerajaan sedia RM183j untuk Sandakan tahun ini

Kerajaan sedia RM183j untuk Sandakan tahun ini

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sejumlah RM183 juta pada tahun ini kepada Sandakan bagi memastikan pembangunan ekonomi terus berkembang sebagai salah satu pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur Sabah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu bagi membiayai lebih daripada 49 projek dan program yang sedang dan akan dilaksanakan dengan jumlah kos keseluruhan mencecah RM2.28 bilion.

Sandakan adalah bandar kedua terbesar di Sabah, meliputi kawasan Parlimen Sandakan, Batu Sapi, dan Libaran.

“Kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir 400 ribu penduduk di Sandakan,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan di sini.

Antara projek yang dikenal pasti bagi manfaat rakyat adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip di Sandakan yang dianggarkan bernilai RM40 juta bakal memperbaiki sistem saliran dan menaiktaraf sungai di daerah itu.

Kerajaan juga telah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta melibatkan antara lain pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut.

Selain itu, beberapa projek lain bagi peningkatan kedudukan ekonomi di Sandakan terus diberi penekanan merangkumi projek-projek bagi industri berasaskan minyak dan kelapa sawit dan penyediaan kemudahan jaringan pengangkutan yang bakal merancakkan ekonomi setempat. – MalaysiaGazette