Home Nasional Terus teroka pasaran baharu sawit, harapan besar pekebun kecil

Terus teroka pasaran baharu sawit, harapan besar pekebun kecil

Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu terus menyertai misi atau mesyuarat ke negara pasaran baharu bagi mempromosi minyak sawit.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, penerokaan pasaran baharu komoditi itu ke Afrika, Arab Saudi mahu pun negara Asia merupakan peluang bagi meningkatkan pendapatan peneroka kecil negara ini.

Selama ini, katanya, negara ini dihimpit kesukaran sejak pemboikotan minyak sawit yang semakin mengganas di Kesatuan Eropah.

“Apabila kerajaan menyertai satu misi ataupun mesyuarat ke negara pasaran baharu, ia dilihat lebih berkesan ke arah pemulihan beransur-ansur.

“Ini merujuk Misi Ekonomi Minyak Sawit di Arab Saudi yang disertai kerajaan bagi membincangkan hubungan perdagangan termasuk pasaran komoditi minyak sawit,” katanya kepada media hari ini.

Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

Beliau percaya dengan usaha itu, kerajaan dapat meningkatkan penerokaan pasaran baharu dan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara maju seperti China.

Katanya, ia dapat memperkasakan lagi sama ada produk berasaskan minyak sawit mahupun minyak sawit mentah (MSM) negara.

“Pada masa sama, kerajaan perlu juga konsisten menghadapi diskriminasi yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah dengan berstrategi dan berkesan.

“Kempen Love My Palm Oil perlu ditingkatkan dan diperluaskan lagi supaya lebih ramai membeli produk minyak sawit dan mendapat fakta yang benar mengenai sawit.

“Saya juga menyarankan kerajaan merancang pelan tindakan yang efektif dalam bertindak balas menghadapi turun naik harga pasaran minyak sawit seperti dicadangkan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin,” katanya.

Ini, kata Che Alias, bagi mengelakkan sumber pendapatan pekebun kecil terjejas. – MalaysiaGazette