Home Politik Kita cuma tukar AJK lama tak buat kerja – Mujahid

Kita cuma tukar AJK lama tak buat kerja – Mujahid

Dr. Mujahid Yusof
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah sesekali mahu mengubah Malaysia sehingga mahu menjejaskan kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sebaliknya menegaskan, PH hanya menukar ‘kepimpinan lama’ yang dirujuknya sebagai ahli jawatankuasa (AJK) yang gagal menjalankan tugas dan lembap.

“Masa kempen orang kata, kalau tukar kerajaan, habis semua ini, perlembagaan mereka nak tukar, Islam hilang, Raja Melayu tiada, kita dengarkan, ini semua tak betul.

“Cuma tukar AJK kariah sahaja, kenapa jadi masalah yang haru-biru satu negara pasal apa? AJK kariah (kerajaan Barisan Nasional) sebelum ini tak buat kerja, naik lembap, AJK kariah dulu orang pertikai, duit Jumaat pergi mana? Tak tunjuk berapa dapat?

“Akhirnya kita tukar AJK kariah baru. Habis itu masjid tukar tak? Kalau nama Masjid Putra, Masjid Putralah, kalau Masjid As-Syakirin, Masjid As-Syakirin tulah, cuma AJK kita tukar,” katanya berucap pada sesi Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.

Mujahid memberi jaminan, pentadbiran negara akan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam manifesto PH sebelum PRU14 lalu.

“Secara politiknya, akad atau kontrak, antara kita dengan negara, siapa yang memimpin negara itu perlembagaan, kalau tidak apa yang kita nak pegang.

“Kita komited meneruskan lunas-lunas perlembagaan Persekutuan yang kita terima sebagai satu kontrak kita dengan rakyat.

“Seterusnya kita menyatakan kita bukannya nak buat benda baru, maksud baru ini, negara yang kita bernaung selama lebih 61 tahun adalah negara sama,” katanya.

Mujahid berkata lagi, pentadbiran PH akan meneruskan kerja-kerja pembinaan negara yang dilakukan kerajaan terdahulu dengan melakukan reformasi besar-besaran kepada kementerian dan agensi kerajaan.

“Kita hanya meneruskan (usaha) pemimpin kita yang telah membina dan membentuk negara ini, bukan kita nak buat negara lain, bukan Malaysia tapi entah apa namanya, tidak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette