KUALA LUMPUR – Debat antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz pada 7 April ini nampaknya mula menjadi fenomena.
Kali ini ada pihak mahu debat antara Tan Sri Annuar Musa dan Lim Kit Siang pula diadakan.
Usaha itu digerakkan oleh Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia dan Gabungan NGO-NGO Malaysia.
Pengerusi sekretariat penganjurnya, Dr. Ammar Hassan berkata, surat jemputan rasmi telah dihantar kepada Ketua Penerangan UMNO dan Penasihat DAP itu.
Bagaimanapun setakat ini hanya Annuar yang menyatakan persetujuan melalui SMS kepada Ammar dan pihaknya masih menunggu respon Kit Siang.
“Tujuannya adalah untuk menyediakan platform kepada kedua-dua tokoh politik ini menyatakan pandangan, fakta serta mempertahankan diri daripada dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepada sesama sendiri.
“Kita lihat sejak kedua-duanya berdebat di dalam Parlimen, pertikaman lidah antara mereka berlarutan sehingga ke luar menerusi laporan media. Jadi di sini kami mengambil inisiatif menyediakan pentas untuk mereka berhujah supaya rakyat boleh menilai fakta sebenarnya,” katanya yang juga Pengarah Yayasan Keusahawanan Sosial dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Ammar, memandangkan Kit Siang belum menyatakan pendiriannya tarikh rasmi belum dapat ditentukan.
Bagaimanapun sekiranya dipersetujui ia mungkin diadakan penghujung April ini dan lokasi dirancang di Pusat Dagangan Duni Putra Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam.- MalaysiaGazette