Home Nasional Presiden JMM didakwa ugut pegawai polis, aibkan individu

Presiden JMM didakwa ugut pegawai polis, aibkan individu

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) merangkap Penasihat Kehormat Gagasan Tiga Malaysia (G3), Datuk Azwanddin Hamzah berucap pada Himpunan Justice 4Adib di Dataran Seni, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2018

KLANG – Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini, atas pertuduhan mengugut pegawai polis dan mengaibkan seorang individu, Disember tahun lepas.

Azwanddin, 46, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya masing-masing di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Di hadapan Solehah Noratikah, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang, ASP Harun Abu Bakar, iaitu hendak menyerang Balai Polis Klang, di Dataran Seni Off Jalan Melayu, Pusat Bandar Klang di sini, kira-kira 6.15 petang pada 25 Dis lepas.

Jika sabit kesalahan, Azwanddin yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Di hadapan Muhammad ‘Azzam, tertuduh didakwa sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan D. Arumugam, 49, dengan mengetahui mungkin perkara itu akan memecahkan keamanan awam di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Azwanddin dibebaskan dengan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari sementara Azwanddin yang juga merupakan Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) diwakili peguam Izzat Muhtar.

Media sebelum ini melaporkan, pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, 25 Dis lepas, Azwanddin dalam ucapannya didakwa mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

— BERNAMA