KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) yang menjalani kerja-kerja pembaikan sudah beroperasi sepenuhnya dan pemulihan bekalan air secara berperingkat sedang dijalankan.
Beberapa kawasan yang mengalami gangguan air sudah mula menerima bekalan sejak pagi tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, proses meningkatkan paras kolam perkhidmatan serta menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan sedang giat dijalankan.
Menurutnya, proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat dan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi geografi serta altitud.
Tambah beliau, pihaknya komited dan berusaha mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas.
Gangguan air hingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan itu.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago, dilaporkan berkata kerja penambahbaikan itu bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam, iaitu selama 14 jam, dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.
Gangguan itu membabitkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan. – MalaysiaGazette