PUTRAJAYA – Operasi penggeledahan oleh pasukan komando polis VAT 69 di kawasan hutan di Genting Perah, Perlis pada Mac 2015 menemukan sebuah kem penempatan dengan 14 khemah yang pernah diduduki pendatang asing, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis diberitahu hari ini.
Inspektor Mohamad Afiq Sarmid daripada pasukan komando VAT 69 berpangkalan di Ulu Kinta, Perak yang merupakan saksi ke-17 RCI berkata penemuan tersebut membawa kepada penahanan lima orang pendatang tanpa izin pada kira-kira 200 meter dari tapak penempatan tersebut.
Menurutnya, operasi melibatkan 24 anggota digerakkan bermula 11 Mac 2015 susulan penemuan kem penempatan dan kubur di Bukit Wang Burma pada Januari 2015 dengan skop tugasan mereka adalah untuk mengesahkan sama ada terdapat penempatan pendatang tanpa izin di kawasan Genting Perah.
“Pergerakan kami untuk sampai ke tempat penempatan itu mengambil masa dan hanya ditemui pada hari ketiga iaitu pada 13 Mac,” katanya yang diarahkan oleh Pegawai Turus Risikan untuk mengetuai pasukan masuk ke hutan Genting Perah untuk melakukan pencarian dan penggeledahan.
Mohamad Afiq yang kini bertugas selaku Pembantu Pemerintah Skuadron Delta VAT 69 berkata kesemua khemah yang ditemui itu merupakan khemah lama yang diduduki pendatang tanpa izin berdasarkan struktur yang hanya tinggal rangka.
Susulan itu, pasukannya membuat carian di kawasan berdekatan dan menemui lima warga asing yang sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol dan sebilah pisau pada dua warga Thailand yang ditahan, manakala tiga warga Rohingya tidak memiliki senjata serta pengenalan diri, katanya.
Menurut Mohamad Afiq, beliau menghubungi Pegawai Pemerintah Markas Taktikal sebelum diarahkan turun dan menyerahkan bukti serta orang tahanan kepada Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
Kepada soalan Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai yang hairan mengapa tiada kubur ditemui sepanjang operasi tersebut, Mohamad Afiq berkata beliau hanya mengikut arahan dan objektif operasi adalah untuk mengesan kewujudan pendatang tanpa izin.Saksi ke-18, Inspektor Mohd Husyairi Musa yang diberi arahan membawa pendatang tanpa izin berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar berkata tahanan tersebut diserahkan kepadanya di satu kawasan tapak pembuangan sampah di Taman Negara Perlis pada kira-kira 5 petang, 13 Mac 2015.
Mohd Husyairi yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Risikan Operasi IPD Padang Besar berkata pemeriksaan lanjut terhadap pendatang tanpa izin yang diserahkan dengan tangan diikat itu turut menemui satu beg berwarna coklat yang mengandungi wang tunai RM410 dan mata wang Thailand berjumlah 100 baht.- BERNAMA