Home Utama Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ dasar baharu negara – Mujahid

Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ dasar baharu negara – Mujahid

Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

KOTA BHARU – Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ akan menjadi dasar baharu negara dalam usaha kerajaan membentuk citra baharu Malaysia pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata kertas cadangan yang berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia telah diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Mac lepas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia dijangka akan menjadi antara agenda untuk diluluskan pada mesyuarat kabinet bulan depan dan sebaik diluluskan, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baharu yang perlu disokong semua pihak kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan.

“Walaupun cadangan ini belum dibawa ke Kabinet, namun saya sudah menjelajah lima kementerian sebelum ini untuk menjelaskan mengenai gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri dan InsyaAllah, saya akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (dalam masa terdekat) untuk memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap agar setiap kementerian dapat membawa konsep tersebut dalam setiap aktviti yang dianjurkan mereka dalam mencapai sasaran negara rahmat.

Mengulas mengenai Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ itu, Mujahid berkata pihaknya akan mewujudkan satu platform bagi membolehkan mahasiswa dari Universiti Awam (UA) untuk berkongsi pandangan mereka tentang perkara semasa.

“Platform ini akan dibentuk mewakili setiap kampus masing-masing dan mungkin sekali atau dua kali sebulan kita akan berhimpun menerusi sesi perbincangan supaya dapat maklum balas yang bernas,” katanya.

— BERNAMA