Home Ekonomi MITI mulakan siasatan lambakan konkrit keluli dari Turki, Singapura

MITI mulakan siasatan lambakan konkrit keluli dari Turki, Singapura

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen anti-lambakan daripada Malaysia Steel Association (mewakili pengeluar tempatan memohon supaya siasatan anti-lambakan diadakan ke atas pengimportan batang penulangan konkrit keluli dilakukan.

Petisyen itu diterima pada 29 Mac lalu membabitkan batang keluli gulungan panas yang mengandungi lekuk, tetulang, alur atau canggaan lain.

Pempetisyen mendakwa import batang penulangan konkrit keluli yang berasal atau dieksport dari Singapura dan  Turki telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual dipasaran domestik negara-negara tersebut.

Katanya, pempetisyen mendakwa lambakan import batang penulangan konkrit keluli dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada mereka.

Kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti prima facie lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import batang penulangan konkrit keluli dari negara-negara berkenaan.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan).

Pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 10 Mei 2019 manakala pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 24 Mei 2019.

Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang ada. – MalaysiaGazette