Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata mesyuarat itu dijangka menentukan langkah seterusnya yang akan diambil bagi mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu berada.
“Segala keputusan berhubung lokasi pencarian seterusnya pesawat MH370 akan ditentukan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) bahawa kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian sebelum ini, bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370.
Menurutnya, pihaknya sehingga kini tidak dapat memberi sebarang komen berhubung laporan yang dikeluarkan oleh ATSB sehingga diadakan mesyuarat tiga hala tersebut.
Aziz bagaimanapun tidak memberikan maklumat mengenai tarikh dan tempat mesyuarat itu akan diadakan.
ATSB dalam Laporan Semakan Semula Utama pertamanya mengenai MH370, yang dikeluarkan semalam berkata para pakar mereka juga mengenal pasti satu kawasan kira-kira 25,000km persegi di utara kawasan pencarian sekarang sebagai kawasan paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.
Menurut laporan itu juga para pakar merumuskan bahawa sekiranya pencarian terus dilakukan di kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi, lokasi prospektif terletaknya bangkai pesawat berkenaan berasaskan semua analisis yang dibuat selama ini tidak memberi sebarang hasil.
Pada 7 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
— BERNAMA