Home Nasional Maszlee umum biasiswa untuk wartawan lanjut pelajaran

Maszlee umum biasiswa untuk wartawan lanjut pelajaran

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2019 di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran akan diberikan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan.

Perkara itu diumumkan oleh Menterinya Dr Maszlee Malik bersempena Malam Kewartawanan 2019 yang berlangsung di ibu kota malam ini.

Walaubagaimanapun beliau tidak memperincikan bila biasiswa itu akan bermula.

“Saya ada pengumuman penting untuk semua rakan-rakan wartawan di sini dan di luar sana. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi universiti-universiti awam telah menyediakan biasiswa khas untuk wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Maszlee yakin ramai wartawan mempunyai masa depan cerah untuk meluaskan kerjaya mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Hasrat saya, wartawan kita bukan sahaja bekerja di Malaysia saya yakin ramai wartawan kita terutama kalangan muda mampu pergi luar Malaysia.

“Mungkin dua tiga tahun atau tahun depan kita akan ada wartawan Al-Jazeera rakyat Malaysia, stringer CNN rakyat Malaysia,” tambahnya.

Setakat ini inisiatif kerajaan itu kata Maszlee telah mendapat respon positif daripada universiti awam .

Maszlee selain itu berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menubuhkan Majlis Media Malaysia, untuk mengawal selia kendiri para wartawan. –MalaysiaGazette