SHAH ALAM – Prihatin dengan kebajikan para penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yayasan kendalian alumni UiTM hari ini melancarkan agihan sarapan dan makan malam kepada golongan berkenaan.
Program kebajikan itu akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.
Bertemakan “Ingatan Abang-Abang Alumni kepada Adik-Adik UiTM”, program tersebut menjadi satu lagi platform adalah bagi mendekatkan hubungan kedua-dua pihak.
TP1B memperuntukan RM50,000 untuk program tersebut manakala RM50,000 lagi bagi derma siswa kepada pelajar yang memerlukan bantuan.
“Kami juga pernah mengalami suasana yang sama seperti yang dihadapi oleh para pelajar sekelian. Kita bukan sama, ada yang senang, ada yang susah,” kata Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan dalam majlis yang berlangsung di Kolej Kediaman Delima 2 UiTM Shah Alam.
Katanya, aktiviti seperti ini diharapkan akan disambut oleh semua pihak yang ada kaitan sentimental dengan institusi pengajian itu.
Beliau juga mencadangkan kolej-kolej kediaman atau asrama di universiti itu mengikut jejak kolej kediaman Universiti Malaya (UM) yang menjadikan kolej kediaman mereka sebagai tempat sesuatu yang cukup diingati.
“Di UM ada Kolej Kediaman 1 hingga 12 dan bekas penghuni setiap kolej itu membuat majlis makan malam elit setiap tahun bagi mengumpul dana kebajikan dan disalurkan kembali kepada kolej-kolej kediaman itu.
“Selain universiti dan fakulti kita, asrama kediaman tempat kita tempat kita rehat, tidur, mandi adalah juga sesuatu yang sangat diingati.
“Budaya ‘home-coming’ seperti itu juga perlu diterap pada asrama Kolej Kediaman Delima, Seroja, Cempaka, Teratai, Perindu dan di sistem UiTM seluruh negara.”
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor HEP, Prof. Dr Azizan Abdullah, pengurus-pengurus kolej kediaman, para alumni dan pelajar. – MalaysiaGazette