KULIM – PKR optimis dapatan kajian Merdeka Center yang menunjukkan kemerosotan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi terhadap calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH yang diwakili calon DAP pada PRK itu juga tidak akan mengubah penyusunan strategi kempennya susulan keputusan firma tinjauan pendapat awam itu.
“Saya fikir tidak (mempengaruhi undi), ia juga tidak mengubah apa-apa dari segi penyusunan strategi kita sebab (keputusan ujian) Merdeka Center yang diumumkan semalam, selepas setahun Pilihan Raya Umum ke-14.
“Merdeka Center adalah satu badan yang sentiasa membuat penemuan tinjauan setiap bulan akan sentiasa kesan dan ini adalah selepas setahun dia buat, cuma pengaturan masa, ia menjadi yang pertama melaporkan jadi mendapat perhatian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Kedah, di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta mengulas sama ada keputusan tinjauan itu akan mempengaruhi sokongan pengundi terhadap PH pada PRK tersebut yang akan diadakan 11 Mei depan.
Keputusan tinjauan pendapat Merdeka Center yang dikeluarkan semalam mendapati kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada 39 peratus pada 11 Mac lepas.
Kaji selidik melibatkan 1,204 pengundi yang dijalankan di seluruh Malaysia antara 5 hingga 11 Mac itu turut menunjukkan hanya 34 peratus responden percaya negara kini berada di landasan yang betul berbanding 55 peratus pada Ogos 2018.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, PKR akan menggerakkan jenteranya ke PRK itu bagi membantu DAP menerusi pelbagai program dan aktiviti kempen untuk memastikan kerusi Parlimen Sandakan kekal milik PH.
Katanya, walaupun keputusan pilihan raya umum lalu menyaksikan kerusi itu dimenangi calon PH dengan majoriti yang besar, namun ia tidak boleh diambil mudah.
“Sebagai Setiausaha PKR saya turun ke Sandakan minggu lepas berjumpa dengan jentera parti di zon Timur termasuk Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi untuk siap siaga jentera dan program kerana di kawasan itu ada 42 peratus Muslim,” katanya.
PRK Parlimen Sandakan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas, menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, calon PBS Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas. – Bernama