KOTA KINABALU- Pas menyatakan sokongannya terhadap calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.
Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan keputusan parti untuk tidak meletakkan calon untuk bertanding di dalam PRK berkenaan bagi memastikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon pembangkang yang akan menentang Pakatan Harapan.
“Langkah ini diambil untuk mengukuhkan peranan blok pembangkang di dalam menyediakan semak dan imbang di Parlimen dan kepada kerajaan yang seterusnya memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.
Tambah Takiyuddin, Pas akan menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu Linda berdepan dengan calon DAP Vivian Wong dan tiga lagi calon bebas iaitu Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah, ahli perniagaan, Chia Siew Yung dan bekas kakitangan politik, Sulaiman Abdul Samat.
“PAS melalui cawangan Sabah dan Sandakan akan menggerakkan jentera pilihan raya tempatan di dalam terutamanya memastikan ahli-ahli dan penyokongan mengundi calon PBS semasa pilihanraya 11 Mei nanti,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette