Home Politik SPR keluarkan 177 kertas undi pos PRK Sandakan

SPR keluarkan 177 kertas undi pos PRK Sandakan

SPR

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 177 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, hari ini.

Menurut Pengerusi SPR, Azhari Harun, pengeluaran kertas undi pos bermula pada jam 11.00 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Persidangan Tingkat 1, Wisma Perbandaran Sandakan meliputi pelbagai kategori.

Ini merangkumi lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di New Zealand, Nepal dan Korea Selatan manakala  sejumlah 172 undi pos telah dikeluarkan kepada petugas pilihan raya (Borang 1A).

Menurut Azhari, tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B  iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan kategori Borang 1C iaitu anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan.

Tambahnya, sampul keutamaan undi pos PTH luar negara telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit. Manakala sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus mulai esok.

Semua pengundi pos perlu mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen P.186 Sandakan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 11 Mei ini.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan BEBAS.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu. Pemerhati daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Darul Ehsan (IDE) turut hadir semasa proses tersebut.

“Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan ini telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya.- MalaysiaGazette