Home Nasional Pelajar Sains Aktuari UCSI cipta sejarah

Pelajar Sains Aktuari UCSI cipta sejarah

KUALA LUMPUR – Penuntut Universiti UCSI, James Koo mencipta sejarah muncul pelajar Malaysia pertama memperoleh ‘Associate of Canadian Institute of Actuaries (ACIA)’.

Pelajar tahun tiga Sains Aktuari itu juga menjadi pelajar pertama daripada universiti swasta terbaik itu di negara ini yang melepasi “Society of Actuaries’ Fundamentals of Actuarial Practice (FAP)”.

Bagi memperoleh kelulusan itu, Koo berkata pelajar perlu menduduki lima peperiksaan profesional, FAP dan menghadiri bengkel profesionalisme yang dianjurkan Institut Aktuari Kanada (CIA) di Kanada.

FAP, beliau berkata terdiri daripada modul dan penilaian dalam talian yang menguji pengetahuan teknikal dan permohohan kadar harga insurans, penentuan dan kitaran kawalan aktuari.

“Saya gembira memperoleh kelulusan ini kerana ia ‘jarang’ bagi seseorang siswazah untuk meraih pengiktirafan ini,” kata pelajar berusia 21 tahun itu dari Johor Bahru kepada Bernama.

Melalui ACIA, Koo berkata peluangnya mendapat ‘pekerjaan kompetitif” jauh lebih cerah, sambil menambah bahawa beliau telah dipanggil untuk menghadiri beberapa temuduga kerja.

“Menjadi seorang yang memperoleh kelulusan ini memberi saya kesempatan menonjol berbanding orang lain. Saya telah dipanggil menghadiri temuduga pekerjaan tetap oleh beberapa syarikat perunding aktuari walaupun sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah saya,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya itu berkata usaha seterusnya adalah meningkatkan pengetahuan bahasa pengaturcaraannya, sambil menjelaskan permintaan untuk automasi dalam kebanyakan pekerjaan berikutan Industri 4.0 menjadikannya mustahak bagi graduan aktuari menjadi mahir dalam bidang ini.

“Cita-cita saya menjadi perunding aktuari yang berkhidmat di sebuah syarikat insurans am.

“Saya memilih untuk menjadi pakar dalam insurans am kerana penglibatan lebih tinggi terhadap konsep dan model statistik,” katanya.- BERNAMA