Home Politik Sesi teh tarik bersama putera mahkota bukan anjuran UMNO – Lokman

Sesi teh tarik bersama putera mahkota bukan anjuran UMNO – Lokman

Datuk Lokman Noor Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam tampil memberikan penjelasan berhubung penyebaran suatu ‘sesi teh tarik’ bersama empat putera mahkota yang didakwa akan diadakan esok.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu dalam satu kenyataan berkata, makluman mengenai perkara itu diterima oleh beliau menerusi aplikasi Whatsapp daripada seorang rakannya yang rapat dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau kemudian memuat naik pemakluman itu menerusi satu posting di laman sosial yang dirasakan turut akan disebar oleh mereka yang merupakan ahli UMNO.

Bagaimanapun kata beliau, apabila perkara itu sampai ke pihak istana timbul persepsi yang menunjukkan bahawa program itu seolah-olah dianjurkan oleh UMNO.

“Usahlah dilayan spin (putar) Malaysiakini yang mengatakan saya stress (tertekan) kerana empat putera mahkota tidak jadi datang program saya, tidak benar tu.

“Program itu program mereka, saya cuma tolong sebar bagi meramaikan lagi program tersebut.

“Kita sayang sultan dan Tengku Mahkota kita, kita tak mahu ada yang mengata program baginda kurang sambutan pula nanti.

“Maklumlah, zaman Malaysia baru ni, TMJ (Tunku Mahkota Johor) dilihat lantang menyuarakan kepentingan Rakyat. Beliau antara yang paling teruk menjadi sasaran Tun Mahathir,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Menurut Lokman lagi, akibat penyebaran yang tular itu ayahanda daripada salah seorang putera terbabit telah menasihati anakandanya supaya menunda program berkenaan bagi mengelak dakwaan seolah-olah wujud campurtangan politik pihak istana apabila mereka menghadiri program UMNO.

Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan penglibatannya dalam program Santai Teh Tarik bersama Empat Putera Mahkota seperti tertera dalam poster yang tular di media sosial.

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Mestika hari ini.

Menerusi pemakluman pada poster berkenaan, program tersebut akan berlangsung di Mahkota Parade di Bandar Hilir Melaka dengan ketetapan waktu pukul 5.30 petang esok. – MalaysiaGazette

Raja Muda Selangor nafi terlibat program Santai Teh Tarik