Home Nasional Polis panggil Lokman siasat sebar maklumat palsu

Polis panggil Lokman siasat sebar maklumat palsu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melakukan pemeriksaan barisan pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung penyebaran berita membabitkan empat putera mahkota yang didakwa palsu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhammad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan terhadap Lokman juga sudah dibuka oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman.

Menurutnya, siasatan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan maklumat palsu melalui internet.

“Siasatan telah dibuat oleh pasukan polis IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman kita sedang koordinat siasatan itu.

“Kita akan ambil keterangan daripadanya dan menyiapkan kertas siasatannya secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.

Muhammad Fuzi menjawab soalan wartawan berhubung laporan polis yang dibuat oleh beberapa individu terhadap Lokman berhubung perkara itu.

Baru-baru ini timbul kontroversi apabila Lokman menyebarkan suatu poster ‘sesi sembang teh tarik’ bersama empat putera mahkota yang didakwa akan diadakan petang ini.

Terdapat individu yang mendakwa bahawa program yang akan berlangsung itu dianjurkan oleh UMNO ekoran penyebarannya oleh Lokman.

Bagaimanapun, dalam satu kenyatan semalam Lokman menjelaskan bahawa program tersebut bukan dianjurkan oleh UMNO. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sesi teh tarik bersama putera mahkota bukan anjuran UMNO – Lokman