KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain berdarah kacukan Malaysia mempunyai prospek mungkin boleh dipujuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Pemain itu adalah Jaami Qureshi yang ketika ini beraksi sebagai penyerang skuad Bawah 16 tahun (B-16) Brighton yang mana dia memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi sebelah ibunya.
Jaami yang pernah dipanggil mewakili skuad Bawah 15 tahun (B-15) England n akan pulang ke Malaysia pada Julai atau Ogos ini.
Media tempatan di London pernah menyenaraikan pemain itu sebagai antara prospek yang mungkin mewakili skuad kebangsaan England pada masa depan.
Sebagai rekod, anak bongsu daripada lima beradik itu memulakan karier di akademi Brentford seawal enam tahun sebelum dia beraksi bersama akademi Chelsea selama tiga tahun dan kemudiannya Fulham.
Brighton kemudian mengintai khidmatnya sebelum dia menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab itu bermula usia 12 hingga 14 tahun.
Potensi yang dimilikinya menyaksikan Brighton menyambung kontraknya selama empat tahun dan biasiswa termasuklah kontrak profesional selama dua tahun bersama skuad utama bergantung pada prestasinya ketika berusia 17 tahun.
Malah, penyerang itu memiliki kelebihan atletik apabila selain bermain bola sepak, dia turut bermain ragbi dan bergelar atlet kebangsaan bagi acara pecut 100 meter (m) dan 200. – MalaysiaGazette