PETALING JAYA – Industri seni tanah air baru-baru ini diwarnai dengan kontroversi selebriti yang membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab.
Namun bagi pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta, masyarakat jangan semberono menghukum mereka namun perlu mendoakan mereka demi kebaikan.
“Bertudung memang hukumnya wajib. Kita Islam bila berlaku sesuatu yang mana kita mahu buka tudung, ia adalah dugaan. Kita tidak boleh hukum.
“Jangan menghukum, kita sendiri pun tidak tahu apa dugaan kita,” katanya kepada wartawan ketika ditemui hari ini.
Che Ta yang mula berhijab sejak tahun 2015 selepas menunaikan umrah turut berkongsi pengalamannya ‘berhijrah’.
“Nak hijrah ini, nak jadi lebih baik, kena tukar circle. Apa yang saya rasa menyesal, lambat bertudung, setakat hari ini tidak ada rasa nak buka tudung.
“Kalau jumpa adik-beradik yang semua pakai tudung kami akan bercerita tentang ilmu agama, apa yang boleh apa yang tidak boleh,”ujarnya.
Pelakon Kiah Pekasam itu sebelum ini menafikan penghijrahannya kerana mengikut trend sebaliknya ia adalah di atas permintaan suaminya dan tuntutan agama.-MalaysiaGazette