Home Nasional Klinik 1Malaysia bukan ‘klinik Panadol’

Klinik 1Malaysia bukan ‘klinik Panadol’

Halimaton Saadiah Bohan

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimahton Saadiah Bohan membidas dakwaan ADUN Sri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang mengibaratkan Klinik 1Malaysia sebagai ‘klinik Panadol’.

Beliau berkata, dakwaan itu membuktikan wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) itu tidak faham mengenai fungsi dan tujuan diwujudkan Klinik 1Malaysia di setiap kawasan.

Katanya, Klinik 1Malaysia adalah sebuah pusat perubatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan ringan untuk orang ramai yang menghidap demam, batuk dan selesema sahaja, manakala bagi penyakit berat akan dirujuk ke hospital.

“Untuk makluman Sri Andalas, Klinik 1Malaysia ini adalah klinik di mana ramai masyarakat dan penduduk setempat menggunakannya untuk mengambil ubat demam, batuk dan selesema sahaja. Mereka tidak perlu bayar banyak, hanya RM1 sahaja.

“Di Selangor saja ada 45 Klinik 1Malaysia dengan jumlah kunjungan pesakit ringan sepanjang tahun 2016 berjumlah 896,391 pesakit. Mereka ini adalah dari golongan yang tidak mampu sama ada untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta atau membeli ubat di farmasi.

“Klinik ini hanya diuruskan oleh Pembantu Perubatan dan juru rawat,” katanya pada perbahasan ucapan terima kasih titah Sultan Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut Halimatoh, perkhidmatan Klinik 1Malaysia beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan disukai penduduk kerana rawatannya baik dan berkesan.

Dalam sesi perbahasan itu juga, beliau turut meminta kerajaan negeri menyediakan tapak baharu kepada sekumpulan lebih 40 peniaga kecil di Kampung Melayu Subang yang mana kawasan mereka telah diambil semula oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tujuan pembangunan.

Ujar beliau, peniaga itu ketika ini tidak dapat mencari rezeki kerana risau barangan perniagaan mereka dirampas sekiranya berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Berbelas tahun peniaga ini mencari rezeki untuk menyara keluarga mereka di sini, tiba-tiba MBSA keluarkan notis supaya tapak berkenaan dikosongkan atas alasan pembangunan.

“Saya harap kerajaan negeri mengambil berat masalah peniaga ini supaya tapak niaga baharu disediakan atau diberi peluang kepada mereka berniaga di gerai yang digazetkan oleh kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette