JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan dirinya, anggota keluarga atau mana-mana individu termasuk bekas pegawainya perlu didakwa sekiranya didapati melanggar undang-undang.
Beliau berkata pendirian tersebut bukan perkara baharu sebaliknya konsisten sejak dahulu lagi dan sudah dimaklumkan kepada agensi penguatkuasaan.
“Isu tentang bekas pegawai saya, saya konsisten dari dahulu lagi sama ada pegawai saya, mantan pegawai saya ke, keluarga saya ke atau diri saya sendiri… kita tidak boleh meletakkan diri kita melebihi undang-undang.
“Jadi, kalau mereka salah, siasatan dijalankan dan bawa ke mahkamah dan didakwa… Jangan cuba mengaitkan dengan isu politik atau dengan diri saya kerana saya punya pendirian konsisten dari dulu lagi what is wrong, is wrong…kalau langgar undang-undang dakwa, cuma jangan dianiaya mereka ini,” katanya.
Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan seorang lelaki bekas pegawai khas kepada bekas menteri yang disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta, direman tiga hari.
Reman sehingga Khamis itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian.- BERNAMA