KUALA LUMPUR – Memilih jalan berliku buat pasukan Kuala Lumpur dalam usaha merebut tiket ke separuh akhir Piala FA 2019 apabila terikat 3-3 menentang FELDA United pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Sekalipun terikat, skuad The Fighters dilihat memiliki peluang cerah ke separuh akhir dan berbekalkan tiga gol di tempat lawan, mereka hanya perlu sekurang-kurangnya seri tanpa jaringan pada aksi kedua nanti untuk meneruskan kemaraan ke kelompok empat pasukan terbaik.
Kedua-dua pasukan beroleh beberapa peluang untuk mendahului perlawanan pada 20 minit pertama namun gagal merobek gawang selepas percubaan tersasar dan diselamatkan oleh penjaga gol.
Bagaimanapun, FELDA United akhirnya membuka jaringan selepas Abdul Azim Rahim menyambut percubaan Christie Jayaseelan yang terkena tiang pada minit ke-22 namun Indra Putra Mahayuddin berjaya mengikat kedudukan menerusi satu rembatan deras pada minit ke-40.
Kuala Lumpur akhirnya ‘bernafas’ pada babak kedua bersambung, apabila mendahului permainan selepas Indra Putra menanduk masuk hantaran lintang Ashri untuk gol keduanya pada minit ke-53.
Kegembiraan Kuala Lumpur tidak kekal lama apabila Abdul Azim menambah koleksi golnya menerusi tandukan yang menewaskan Sharbinee buat kali kedua untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-59.
Kuala Lumpur terus malang apabila FELDA United memperolehi gol ketiga menerusi hantaran S Chanturu yang disudahkan Jocinei Schad pada minit ke-74 namun tuan rumah memberikan reaksi pantas apabila menghasilkan gol penyamaan sumbangan Paulo Josue lima minit berselang.