Home Sukan Ujian getir menanti Spurs di Amsterdam

Ujian getir menanti Spurs di Amsterdam

Donny membuka gol tunggal dan juga kemenangan untuk Ajax bertemu Spurs dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara Juara Eropah awal pagi tadi.

ENGLAND – Tottenham Hotspurs berdepan misi sukar untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir liga JUara Juara Eropah musim ini.

Dalam aksi pertama separuh akhir di Stadium Tottenham Hotspurs awal pagi tadi, Ajax menundukkan Spurs dengan jaringan tipis 1-0.

Donny van de Beek membuka jaringan tunggal itu pada minit ke-15 dari jarak dekat melepas penjaga gol Hugo Lloris.

Ia sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan muda, Ajax menghadapi aksi timbal balik Rabu hadapan di Amsterdam.

Spurs sejak awal perlawanan bergelut untuk mengawal bola selepas ketiadaan Harry Kane dan Son Heung Min.

Harry Kane mengalami kecederaan dan Heung Min pula digantung dua perlawanan.

Keadaan Spurs bertambah kritikal selepas kehilangan pemain pertahanan, Jan Vertonghen di separuh masa pertama akibat kecederaan pada muka selepas berlanggar dengan penjaga gol Ajax Andre Onana.

Jika Ajax berjaya mara ke perlawanan akhir nanti, mereka akan berdepan Barcelona atau Liverpool pada 1 Jun ini.

Dalam pada itu , Pengurus Spurs Mauricio Pchettino mendakwa pasukannya masih ‘hidup’ dalam saingan Eropah itu walaupun tewas tipis.

“Keadaan akan bertambah sukar tetapi peluang masih terbuka.

“Kami harus bersiap sedia untuk perlawanan timbal balik dan kita akan cuba menang di Amsterdam.

“Ia akan menjadi laluan sukar untuk kami dan juga mereka (Ajax),” katanya.

Pochettino mengakui pasukannya memulakan aksi agak perlahan sebelum dihukum dengan gol lawan.

“Kami gagal mempamerkan tenaga yang sebenarnya sepanjang perlawanan itu,” keluh beliau.-MalaysiaGazette