KUALA LUMPUR – Ekonomi negara pada masa kini dan masa depan akan berteraskan automasi, kepintaran buatan, analisis Data Raya (Big Data), robotik dan Internet of Things (IoT).
Lantaran itu, semua pekerja perlu melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan agar sentiasa bersedia untuk seiring dengan perubahan semasa.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pekerja-pekerja Malaysia perlu bersedia untuk menggarap sepenuhnya teknologi ini dalam mendepani cabaran baharu.
“Saya yakin dengan bakat dan potensi pekerja Malaysia. Keterampilan mereka akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing di pasaran global,” katanya dalam ucapan Hari Pekerja hari ini.
Masa depan memang mencabar namun beliau berkata, pekerja-pekerja perlu optimis dan berani untuk mendakap perubahan. dengan pelbagai peluang kepada mereka yang bersedia dan berkemahiran.
“Tanpa dedikasi dan ketekunan mereka Malaysia tidak mungkin menikmati kemakmuran yang dirasai bersama,” ujarnya.
Mohamed Azmin berkata, secara keseluruhannya, produktiviti pekerja Malaysia mengikut jam bekerja terus meningkat tahun demi tahun.
Katanya, pada tahun 2018 produktiviti mereka telah meningkat kepada 3.4 peratus. – MalaysiaGazette