Home Nasional Mama jangan risau, kata TMJ

Mama jangan risau, kata TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ) meminta bondanya, Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris agar tidak risau akan dirinya.

“Jangan risau Mama. Semuanya akan baik-baik sahaja. Tidak kira bagaimana gelapnya ribut melanda, akan ada sinar mentari. Ini janji saya kepadamu. ALLAH Pelihara Sultan,” kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pewaris takhta negeri Johor itu berkata demikian selepas bondanya melahirkan perasaan tertekan apabila anakanda baginda diperli dan dimaki tanpa sebab.

Raja Zarith Sofiah dipercayai bertitah demikian susulan pertikaian antara TMJ dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ratifikasi Statut Rom oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Raja Zarith Sofiah bertitah, kepada mereka yang melakukan perbuatan itu, baginda berdoa semoga Allah SWT mengurniakan taufiq dan hidayahNya.

Titah baginda lagi, kepada mereka yang memberi nasihat pula kepada anakanda-anakanda baginda, diucapkan terima kasih dengan hati yang ikhlas.

“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas yang terakhir, dan melihatnya dikebumikan, mungkin tidaklah salah jika saya terasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli, dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak, dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun.

“Oleh sebab kami sekeluarga menyedari kami umat Islam, dan setiap kali kami bersujud kami juga menyedari kami adalah hamba Allah, kami tahu kami tiada kuasa diDunia ini,” katanya melalui hantaran Facebook.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir berkata, TMJ tidak boleh menukar perdana menteri.

“Perdana menteri cuma rakyat sahaja yang boleh tukar, bukan dia. Dia ingat dia orang besar, dia bukan orang besar, dia orang kecil.

Kenyataan itu dibuat oleh Dr Mahathir selepas tular rakaman video yang memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ” tetapi ada seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Susulan itu, kenderaan SUV membawa TMJ tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata, “daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri”. – MalaysiaGazette