Home Utama 1MDB, ECRL diwujudkan untuk dana PRU-14

1MDB, ECRL diwujudkan untuk dana PRU-14

Professor Dr. Jomo Kwame Sundaram

GOMBAK – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dibangunkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk menjana dana politik parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu  Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah  (KRI) Profesor Dr Jomo Kwame mendakwa, wujud perjanjian yang disifatkannya melucukan telah dimeterai kerajaan terdahulu untuk mendapatkan lebih banyak dana apabila menyedari ia mempunyai masalah.

ECRL pada dasarnya bertujuan mendapatkan wang untuk pilihan raya yang lalu.

Oleh sebab itu,  Kabinet (kerajaan dahulu) tergesa-gesa dengan pada hujung 2017 meluluskannya dan pada bulan Januari 2018 pembinaan ECRL fasa satu dijalankan.

Fasa satu di Gombak sahaja mencecah lebih kurang RM45 bilion.

“Jika difikirkan apa yang berlaku pada 1MDB, ia ditubuhkan semasa BN tidak mempunyai wang untuk pilihan raya.

“Bagi ECRL pula, kerajaan pula tidak perlu membayar selama  tujuh tahun, kemudiannya akan dibebankan kepada generasi selepas tahun ketujuh itu.

“Ini adalah skim yang tidak bertanggungjawab tetapi beginilah negara ini ditadbir sebelum ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Seminar Sempena Setahun PRU-14.

Ini pada akhirnya, menurut Jomo akan memberi kesan kepada ekonomi negara walaupun ia dilakukan demi kepentingan individu.

“Salah satu isu besar dalam negara kita adalah legasi lama politik wang. Apa yang dibawa contohnya, 1MDB sebelum ini adalah jana wang bukan untuk parti tetapi individu tertentu,” ujar Jomo.

Selain itu beliau berkata, sistem cukai dalam negara sebelum ini mencurigakan apabila membebaskan syarikat-syarikat besar tertentu daripda membayarnya.

“Ada kajian mendapati pemilik syarikat penjual kereta yang mewah tidak membayar apa-apa cukai.

“Ia menunjukkan betapa tidak adilnya sistem cukai,” katanya yang menyampaikan ucapan bertajuk Ekonomi dan Kebajikan Politik di UIA sebentar tadi. -MalaysiaGazette