Home Ekonomi Tender penukaran sistem bagasi, aerotren dibuat tahun ini

Tender penukaran sistem bagasi, aerotren dibuat tahun ini

KLIA

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memulakan tender bagi sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan aerotren pada pertengahan kedua tahun ini.

Ini kerana, kedua sistem itu sudah berusia lebih 20 tahun dan aset-aset itu perlu ditukar.

Proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, kos bagi kerja-kerja itu masih terlalu awal untuk diumumkan.

“Kita akan mulakan kerja-kerja ini pada tahun ini bagi menambah baik keselesaan memandangkan jumlah penumpang meningkat saban tahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat agung luar biasa di sini hari ini.

KLIA menerima seramai 28 juta penumpang pada tahun lalu, tiga juta lebih tinggi daripada kapasiti semasa lapangan terbang itu dibina 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, cukai pelepasan yang dikenakan kepada para penumpang tidak memberi kesan kepada pendapatan syarikat itu.

Malah, katanya, walaupun cukai tersebut dikenakan tetapi caj yang dikenakan masih lagi terendah berbanding lapangan-lapangan terbang lain di rantau ini. – MalaysiaGazette