Home Nasional Pelantikan Timbalan KPN dalam masa terdekat

Pelantikan Timbalan KPN dalam masa terdekat

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Pengarah Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman akan diisi tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Timbalan KPN akan berlangsung tidak lama lagi sejurus selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafra Billah Shah.

“Itu (pelantikan Timbalan KPN) akan berlangsung tidak lama lagi sejurus selepas diperkenan YDPA.

“Selepas dimaklumkan nanti kita akan menjalankan upacara dan sebagainya dan cawangan khas pun begitu juga.

“Saya rasa proses pelantikan semua jawatan-jawatan ini akan selesai dalam tempoh terdekat nanti,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara antara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Datuk Seri Abdul Hamid Bador serta pelantikan pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ramli Hasan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ditanya mengenai pengumuman rasmi pelantikan empat jawatan itu, beliau berkata:” Tunggulah”.

Mengulas pertanyaan mengenai kesukaran yang dihadapi kerajaan melantik Ketua Polis Negara dan jawatan tertinggi lain, beliau berkata, tidak ada masalah mengenainya.

“Takde masalah, apa-apa proses itu bagaimana kita ketahui nama-nama kita kemukakan kepada Perdana Menteri dan selepas itu beliau akan mengangkat nama nama itu kepada YDPA.

“Itu formaliti sedia ada yang kita ikuti sekarang dan tidak ada masalah,” ujarnya. – MalaysiaGazette