Home Nasional Sindiket penipuan forex RM80j tumpas, 6 suspek ditahan

Sindiket penipuan forex RM80j tumpas, 6 suspek ditahan

Antara barang rampasan daripada enam suspek sindiket penipuan forex di beberapa lokasi berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) yang membabitkan kerugian mencecah RM80 juta.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menahan enam suspek antara 28 hingga 38 tahun, termasuk seorang wanita, dalam Operasi Nuri 3/17 di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor semalam.

Pengarahnya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pasukannya telah menerima 408 laporan polis berkenaan skim pelaburan forex yang dikendalikan sebuah syarikat dikenali VenusFX.

Ujar beliau, berdasarkan siasatan yang dijalankan polis mendapati syarikat berkenaan memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan yang hakikatnya tidak wujud.

“Setiap pelabur dikehendaki membuat pelaburan minimum sebanyak RM2,000 hingga maksimum RM40,000.

“Pembayaran keuntungan akan dibuat secara harian, bagaimanapun secara pelaburan dibuat, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

“Siasatan turut mendapati kira-kira 23,259 pelabur menjadi mangsa skim penipuan ini dengan kerugian dianggar mencecah RM80 juta,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi.

Tambah beliau, hasil serbuan seramai enam suspek yang ditahan itu adalah lima lelaki dan seorang wanita.

“Kesemua tahanan direman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297),” ujarnya.

Kereta Mewah antara barang yang dirampas dalam serbuan JSJK bukit Aman dengan tertangkapnya sindiket penipuan Forex di beberapa lokasi di negara ini semalam.
Kereta Mewah antara barang yang dirampas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dengan tertangkapnya sindiket penipuan forex di beberapa lokasi di negara ini semalam.

Katanya lagi,dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah komputer riba, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 kad Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan lima buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan berjumlah RM750,000.

“Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sebegini.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segeralah membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan,” tegasnya. – MalaysiaGazette