Home Utama Kerajaan harap dapat semula AS$7 bilion duit 1MDB

Kerajaan harap dapat semula AS$7 bilion duit 1MDB

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjangka menerima AS$7 bilion hasil daripada rampasan yang dilakukan ke atas aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia hasil daripada perkembangan positif pihak berkuasa Amerika Syarikat yang bersedia untuk memulangkan AS$200 juta (RM828 juta) kepada Malaysia.

“Kita berharap dapat balik AS$7 bilion (daripada 1MDB),” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary hari ini.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat Majlis Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PH, Datuk Seri Azmin Ali.

Washington hari ini berkata, jumlah wang itu akan dipulangkan minggu depan dan proses persediaan ke arah itu sedang dilakukan pihaknya.

Jumlah keseluruhan wang yang akan diperolehi semula termasuk penjualan saham Hotel Park Lane di New York sebanyak AS$140 juta (RM579 juta) dan kira-kira AS$60 juta (RM248 juta) diperolehi daripada penyelesaian yang dibayar penerbit filem ‘Wolf of the Wall Street’.

Sebelum ini, PH meminta bantuan negara dari Switzerland dan Singapura untuk mengesan dan memulangkan AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion) yang diselewengkan daripada 1MDB.

Skandal dana negara itu, yang ditubuhkan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, menjejaskan rakyat dan institusi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Goldman Sachs Group Inc.

Malaysia memperoleh AS$126 juta (RM521 juta) bulan lalu hasil penjualan kapal persiaran mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan yang kini diburu pihak berkuasa, Jho Low, yang digambarkan dalang skandal itu.

Ia adalah jumlah wang terbesar diperoleh semula Malaysia berkaitan 1MDB, selepas ia menerima AS$11.1 juta (RM46 juta) daripada Singapura tahun lalu. – MalaysiaGazette

AS akan pulangkan RM828 juta dana 1MDB