KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk mencapai jualan sebanyak RM3 bilion pada tahun ini dan merancang untuk melabur RM1.4 bilion menjelang 2025, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya Azmir Jaafar.
Pada tahun lepas, rangkaian restoran makanan segera itu mencatatkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun sebanyak 19 peratus berikutan ia menumpukan kepada pelaburan dalam bidang termasuk tawaran menu tempatan, segmen digital dan usaha komuniti.
“Kami melabur RM1.4 bilion bermula pada 2016 hingga 2025, dan masih mempunyai RM1 bilion untuk tahun ini dan seterusnya,” katanya, sambil menambah syarikat itu melabur RM200 juta dalam tempoh dua tahun lepas.
Beliau berkata, pertumbuhan syarikat itu dijangka kekal mencatatkan dua angka.
“Saya boleh katakan kami mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 15 peratus,” katanya dalam taklimat media mengenai perkembangan terkini syarikat itu di sini hari ini.
Pada 2017, ia mencatatkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun sebanyak 23 peratus, 16 peratus pada 2016 dan 12 peratus pada 2015.
Azmir berkata syarikat menyasarkan untuk membuka 170 restoran baharu di seluruh negara menjelang 2025, melakukan pengubahsuaian ke atas lebih 200 restoran dan mewujudkan 10,000 pekerjaan baharu.
Ia turut merancang untuk membuka 20 restoran pandu lalu baharu pada tahun ini untuk melengkapi 167 restoran pandu lalu sedia ada.
“Perniagaan pandu lalu menjadi komponen penting kepada strategi perniagaan McDonald’s untuk meningkatkan kepimpinan pasarannya,” kata Azmir.
Pada Disember 2016, Lionhorn Pte Ltd dari Arab Saudi membeli hak francais McDonald’s Malaysia dan Singapura sebagai pemegang Lesen Pembangunan.
Sejak itu, McDonald’s Malaysia telah membuka sebanyak 23 restoran baharu dan mengubahsuai 64 daripada restoran sedia adanya.
Kini, terdapat sebanyak 278 restoran McDonald’s di Malaysia, memberikan perkhidmatan kepada 13.5 juta pelanggan sebulan. – MalaysiaGazette