Home Nasional Kerja-kerja baik pulih Flat Taman Keramat Permai siap sebelum Syawal

Kerja-kerja baik pulih Flat Taman Keramat Permai siap sebelum Syawal

Mohamed Azmin Ali

AMPANG – Kerja-kerja pembaikan semula keretakan termasuk pemendapan struktur tangga di Pangsapuri Flat Taman Keramat Permai, Hulu Kelang di sini dijangka selesai menjelang 1 Syawal ini.

Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pihak bertanggungjawab akan melaksanakan kerja-kerja membaiki keretakan flat serta segala penambahbaikannya.

“Kerja membaiki telah pun bermula termasuk struktur mendapan tangga yang sedang berjalan sekarang. Saya minta pihak berkuasa berkenaan segerakan kerja-kerja pembaikan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri akan datang (1 Syawal).

“Tetapi tidak kompromi kualiti kerja dan keselamatan penduduk dijamin selamat,” katanya kepada pemberita di sini.

 

MGF04052019_MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN EHSAN14

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali beramah mesra bersama sebahagian penduduk pangsapuri Taman Keramat Permai pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan RM500 kepada kira kira 37 keluarga mangsa bencana keretakan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya di AU2 Keramat pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau meminta penghuni flat yang dibenarkan pulang supaya memberi kerjasama kepada kerja-kerja pembaikan agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, penduduk berkenaan yang berkampung di pusat pemindahan sementara sejak 26 April lalu dibenarkan pulang kediaman masing-masing yang disahkan selamat untuk diduduki.

“Hasil siasatan sejak hari kejadian hingga 2 Mei lalu oleh semua agensi terlibat secara langsung dalam bencana ini mendapati struktur asas bangunan F selamat diduduki kerana mereka mendapati bangunan mempunyai cerucuk bersesuaian dengan struktur bangunan asal.

“Keretakan berpunca daripada kemendapan struktur tangga sahaja dan bangunan lama berusia 30 tahun itu ditarik oleh pemendapan tangga sehingga mengakibatkan keretakan tetapi struktur utama blok F disahkan kukuh dan selamat diduduki,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.