Home Utama BN putuskan tidak ada wakil kerajaan bentang RUU355 – Najib

BN putuskan tidak ada wakil kerajaan bentang RUU355 – Najib

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Rang Undang Undang 355 (RUU355).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

“Mesyuarat BN malam tadi kita bincang banyak perkara antara RUU355 dan BN putuskan kerajaan tidak bentang RUU355,” katanya yang juga Pengerusi BN selepas mesyuarat di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan utama parti komponen BN.

Menurut Najib, BN berpegang kepada keputusan konsensus sejak dahulu lagi dan sebarang keputusan berpegang pada dasar yang sama pada mesyuarat malam tadi.

“Kini terserah kepada Speaker (Dewan Rakyat) kalau dia (Tan Sri Pandikar Amin) mahu bentang atau tidak, speaker yang putuskan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, RUU355 yang dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat sebelum ini kekal sebagai usul persendirian.

Sebelum itu, beberapa pimpinan UMNO ada menyatakan kemungkinan RUU355 akan dibentangkan wakil kerajaan pada Dewan Rakyat.

Malah Abdul Hadi ada menyatakan hasrat mahu melihat usul pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum dibentangkan.